comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu maut, anak dan isteri cedera, treler masuk gaung

BENTONG: Seorang lelaki terbunuh akibat tersepit selepas treler dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer (KM) 43.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Hasrul Abdul Halim,33, yang tersepit di bahagian hadapan treler disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Nahas turut mencederakan isterinya yang berusia 41 tahun dan anak lelaki, 5.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati treler muatan pasir dipandu Mohamad Hasrul bersama isteri dan anak lelaki mereka dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang juga kawasan selekoh, treler itu dikatakan hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan lalu terbabas serta terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui Kilometer 40 hingga Kilometer 45 lebuh raya itu bagi mengelak terbabit kemalangan,” katanya.

Loading...
Terkini