comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembubaran Parlimen : Jentera Pentadbiran Kerajaan Pastikan Kesejahteraan, Kebajikan Rakyat Terpelihara

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

PUTRAJAYA : Jentera pentadbiran kerajaan akan memberi perkhidmatan optimum kepada rakyat berdasarkan polisi yang telah diputuskan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang mempengerusikan mesyuarat khas hari ini susulan pembubaran Parlimen semalam, berkata anggota perkhidmatan awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawab seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Anggota perkhidmatan awam juga akan terus berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Mesyuarat khas susulan pembubaran Parlimen itu dihadiri semua ketua perkhidmatan, ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Turut hadir Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mohd Zuki berkata antara perkara penting yang dibincang dalam mesyuarat itu ialah peranan dan fungsi kerajaan sementara dalam tempoh sehingga kerajaan baharu terbentuk serta prosedur dan panduan pengurusan keselamatan pejabat anggota pentadbiran dalam tempoh kerajaan sementara.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan keutamaan dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di semua peringkat termasuk agihan bantuan, mobiliti aset serta ketenteraman dan kesihatan awam dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 untuk memberi laluan kepada PRU-15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen, Ismail Sabri mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak. – BERNAMA

Loading...
Terkini