comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemerasan wang tunai RM35,000, 2 lagi anggota polis direman

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Susulan siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000, dua lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan semalam.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, mereka direman dua hari sehingga esok berhubung pemerasan membabitkan keluarga suspek yang ditahan berkaitan kes dadah.

Dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 29 dan 37 tahun dari Bahagian Narkotik IPD Seri Alam.

“Dua lagi anggota IPD Seri Alam ditahan semalam bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam yang direman sejak Rabu lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

Kumar dilaporkan berkata, kesemua lapan individu berusia 20 hingga 50 tahun itu direman empat hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Pada jam 9.32 malam Isnin lalu, polis menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.

Terdahulu, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.

Susulan itu, enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam ditahan kira-kira jam 2 pagi Selasa lalu untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini