comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemilik resort dipanggil beri penjelasan berhubung isu penganjuran parti

 


KUALA TERENGGANU: Pemilik sebuah resort di kawasan peranginan di Terengganu akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung penularan gambar dan poster memaparkan penganjuran sebuah parti di kawasan itu pada 20 Mei lalu.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata pertemuan itu akan diadakan esok dan akan turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Beliau berkata pihaknya mahu meneliti jawapan daripada pihak premis swasta itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta, kita akan bertindak,” katanya.

Jelas Razali, tindakan yang boleh diambil meliputi kesalahan kerana melanggar garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit.

Sementara itu, Razali turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat tentang isu berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Jika ada bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terbabit dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut. Insya-Allah kita sama-sama jaga dan majukan sektor pelancongan negeri kita,” katanya.

Terdahulu, tular satu poster memaparkan satu parti dihadiri penyanyi berbangsa Cina dianjurkan pada 20 Mei lalu.

Antara gambar tular menunjukkan penganjuran sebuah parti di sebuah pulau di Terengganu.- Foto tular.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika dihubungi berkata siasatan terperinci berhubung isu berkenaan akan dijalankan.

“Kita akan siasat terlebih dahulu, jika terdapat kesalahan, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.”

“Tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa dan rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini