comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemilik syarikat hadapi 7 tuduhan kemuka butiran palsu tuntut Penjana 

Nur Kesuma mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM24,500 di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.

ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen  atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM24,500 di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.

Nur Kesuma Kartini Mohamad Zahir, 41, pemilik syarikat Aisy Maju Abadi Trading didakwa memberikan tujuh borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Wanita itu didakwa memperdayakan PERKESO dengan mengemukakan kesemua dokumen yang mengandungi butiran palsu, iaitu tujuh individu yang dinamakan dalam dokumen itu bukan pekerja Aisy Maju Abadi Trading.

Dia dituduh melakukan semua perbuatan itu di Pejabat PERKESO, Jalan Teluk Wanjah di sini pada 22 Jun 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh yang kini berniaga kecil-kecilan diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM S.Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam Ummi Kalthum Zakaria.

Sebutan semula kes pada 5 Disember depan. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini