comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemimpin Top 5 UMNO lengkap dalam Kabinet dengan pelantikan Johari, Noraini

Johari sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi manakala Noraini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

KUALA LUMPUR: Pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, melengkapkan semua lima pemimpin ‘Top 5’ UMNO berada dalam barisan Jemaah Menteri.

Turut berada dalam barisan Kabinet baharu itu ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rombakan Kabinet hari ini menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bertukar portfolio daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar menggantikan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kini dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga bertukar portfolio ke Kementerian Pertahanan yang dikosongkan Mohamad.

Dua pemimpin tertinggi UMNO yang tiada dalam Jemaah Menteri adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana kedua-duanya ada komitmen di peringkat kerajaan Negeri.

Wan Rosdy kini adalah Menteri Besar Pahang manakala Dr Muhamad Akmal adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Dengan pelantikan ‘Top 5’ itu, mengukuhkan lagi kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang mana kini disertai 19 parti politik dengan keseluruhan 151 Ahli Parlimen.

Ketika ini, seramai 12 Ahli Parlimen UMNO dalam barisan Jemaah Menteri termasuk tujuh jawatan Menteri dan lima orang dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Untuk rekod, UMNO kini mempunyai 26 Ahli Parlimen bersama empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menjadikan parti itu mempunyai 30 wakil di Dewan Rakyat.

Selain Noraini, empat lagi yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dilantik sebagai Timbalan Menteri adalah Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, yang sebelum adalah Timbalan Menteri Kewangan 1 manakala Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia yang mana sebelum ini adalah Timbalan Menteri Kerja Raya.

Sementara itu, Mohamad kekal sebagai Timbalan Menteri Luar dan Shamsul Anuar Nasarah kekal sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini