comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencarian tentera Rejimen Sempadan tumpu kawasan sekitar Ulu Mendalam

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Usaha pencarian Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang kini tertumpu di kawasan sekitar Ulu Mendalam di Limbang.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), berkata pencari tentera yang hilang semasa melaksanakan Op UKUR di Limbang, Sarawak kini memasuki hari ke-10.

Katanya, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) masih diteruskan sehingga ke hari ini, menggunakan kaedah Air Search dan Ground Search di sekitar kawasan berkenaan.

“Antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM dan dipergiatkan lagi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pencarian turut dibantu oleh anggota dari Combat Air Rescue TUDM, Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM dan anggota Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) yang sedang melaksanakan Op UKUR.

“Di sektor Brunei pula, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Syafiq, yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu dilaporkan hilang semasa melaksanakan Op UKUR di Limbang, Sarawak bersama JUPEM Sarawak pada 18 Jun lalu.

TDM berkata, mereka kekal komited dan konsisten dalam operasi ini dan berharap agar orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

“Kerjasama masyarakat juga diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini