comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran loji kumbahan punca ratusan ikan mati 

Tangkap layar video tular menunjukkan ratusan ikan di Tasik Tasik Taman Matahari, Bandar Indahpura di sini mati akibat pencemaran air. FOTO: NSTP

KULAI: Ratusan ikan mati dalam Tasik Taman Matahari, Bandar Indahpura, di sini, disebabkan pencemaran air yang berpunca daripada sebuah loji rawatan kumbahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, dapatan itu diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor yang menjalankan siasatan selepas mendapat aduan semalam.

Katanya, hasil pemerhatian mendapati terdapat efluen berwarna hitam di dalam longkang loji itu.

“Siasatan lanjut oleh pasukan penyiasat JAS Johor mendapati sistem rawatan komponen loji itu mengalami kerosakan dan gagal berfungsi dengan baik.

“Loji itu juga disyaki melakukan pelepasan efluen kumbahan secara pintasan (bypass),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ling berkata, bacaan in-situ juga diambil di laluan efluen keluar loji dan air dalam kolam.

“Didapati bacaan status kualiti air bagi kedua-dua lokasi adalah merosot.

“Susulan itu, JAS Johor sudah mengeluarkan arahan lapangan dan notis arahan kepada loji berkenaan untuk menghentikan pencemaran serta membaiki sistem STP dengan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan susulan sudah dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Industri JAS Johor bersama Bahagian Kesihatan serta Bahagian Kejuruteraan dari Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) terhadap loji itu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JAS juga akan melakukan pemantauan berterusan terhadap keadaan air tasik Taman Matahari serta status pematuhan loji rawatan kumbahan itu,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat memaparkan ratusan ikan timbul dan mati, manakala ratusan ikan yang lain kelihatan seakan mabuk di Tasik Taman Matahari, Bandar Indahpura di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini