comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendapatan ‘rider’ dimanipulasi, akta baharu beri harapan pendapatan setimpal

Presiden PENGHANTAR Malaysia, Zulhelmi Mansor.

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Rancangan kerajaan dalam mewujudkan akta khas bagi menjamin pendapatan serta keselamatan sosial pekerja ekonomi gig meliputi perkhidmatan p-hailing dan e-hailing amat disambut baik rata-rata pekerja sektor itu yang menyifatkan tindakan ini seharusnya sudah lama dilaksanakan.

Antara perkara khusus yang bakal disentuh dalam akta tersebut seperti perincian soal pendapatan setimpal yang harus dibayar oleh syarikat gig kepada pekerja adalah sesuatu yang amat dinantikan kerana ada kalanya pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan kerja-kerja yang dilakukan.

Presiden PENGHANTAR Malaysia, Zulhelmi Mansor berkongsi, sehingga kini banyak aduan yang diterima pihaknya berkaitan isu pendapatan tidak tetap namun sehingga kini masih belum ada penyelesaiannya.

“Apabila belum lagi ada undang-undang atau badan yang mengawal selia, pendapatan kami sebagai rider p-hailing masih lagi tiada jaminan dan dimanipulasi sesuka hati oleh pihak syarikat perkhidmatan.”

Bercakap kepada Buletin TV3, selain isu pendapatan, perlindungan insurans pekerja-pekerja e-hailing dan p-hailing yang bakal diberi perhatian dalam akta baharu ini melegakan lebih sejuta pekerja industri kerana risiko kemalangan yang tinggi sewaktu bekerja.

Zulhelmi berkongsi, kemalangan dalam kalangan ‘rider’ p-hailing masih berlaku, dan yang paling menyedihkan sehingga ada yang meninggal dunia, namun tidak mendapat sebarang pampasan yang sewajarnya.

“Aspek kesedaran untuk mencarum masih lagi rendah dan kepentingan caruman sosial yang ada di bawah PERKESO iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) perlu diperkasa dan disebarluas.”

Dalam pada itu, Zulhelmi juga bersetuju dengan perancangan ‘reskilling’, antara yang perlu diberi penekanan dalam akta baharu itu memandangkan penghantar makanan atau ‘rider’ kini tergolong daripada pelbagai peringkat pendidikan dan lapisan umur.

Justeru program-program kemahiran semula ini penting dalam memastikan mutu perkhidmatan terbaik dan menjadikan ‘rider’ p-hailing sebagai aset modal insan penting kepada negara.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rancangan kerajaan untuk menggubal akta baharu bagi industri perkhidmatan p-hailing dan e-hailing yang bertujuan melindungi pendapatan serta keselamatan sosial pekerja ekonomi gig.

Cadangan penggubalan dasar itu membabitkan isu pendapatan, perlindungan insurans pekerja yang terlibat serta jaminan pekerjaan menjelang peningkatan usia.

Loading...
Terkini