comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk bertelagah, ada pihak sewakan petak parkir RM35 sebulan 

BAYAN LEPAS: Penduduk Flat Idaman Seroja, Sungai Ara, di sini, menyuarakan kekesalan dengan sikap pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menawarkan sewaan petak parkir di kawasan berkenaan.

Tindakan itu sekali gus menyukarkan penduduk lain apabila jumlah petak parkir bebas semakin berkurangan.

Difahamkan ada yang menyewakan petak parkir di flat berkenaan sejak awal bulan ini dengan kadar bayaran sebanyak RM35 sebulan.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Yan, 36, berkata, sebelum ini, sebanyak 224 petak parkir disediakan berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’.

Namun sebanyak 124 petak parkir dikatakan telah disewakan manakala hanya 100 sahaja lagi petak adalah bebas parkir.

 

“Bagi penduduk yang tidak dapat letak kenderaan di perkarangan perumahan boleh parkir bertindih mengikut budi bicara penghuni lain atau di bahu jalan iaitu di luar kawasan perumahan tetapi ia adalah di bawah tanggung jawab sendiri.

“Sudahlah di sini tidak cukup parkir, ada pula pihak yang ambil kesempatan dan kami percaya ia membabitkan individu dalam Badan Pengurusan Bersama (JMB),” katanya di sini, hari ini.

Kata Yan, dia bersama penduduk sebolehnya tidak mahu memperbesarkan isu berkenaan namun terpaksa meminta campur tangan daripada wakil rakyat kerana kerap berlaku perbalahan.

“Baru-baru ini, pengawal keselamatan di sini, terkena bata yang dipercayai dicampak dari tingkat atas dan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahu dan tangan.

“Kami syak ia adalah perbuatan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung sewaan parkir itu,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas Pengerusi JMB Abu Habiah Mohd Noor berkata, masalah itu menimbulkan selisih faham dalam kalangan penduduk dan bermasam muka sesama jiran.

Malah katanya, ada antara penduduk yang saling membuat laporan polis berikutan tidak berpuas hati dan mereka kerap berbalah setiap kali perbincangan dilakukan.

“Didapati beberapa ahli jawatankuasa membuat sewaan tapak parkir dengan menjadikannya sebagai hak persendirian tanpa persetujuan bersama termasuk Pengerusi JMB.

“Ukhwah dan suasana harmoni dalam kalangan penduduk juga sudah hilang sehingga saya ambil keputusan meletak jawatan sebagai pengerusi serta merta semalam bagi memudahkan siasatan termasuk beri peluang kepada individu terbabit selesaikan masalah itu,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru, di sini, Khamis lalu.

Sebahagian petak parkir di Flat Idaman Seroja, Sungai Ara, di sini, yang ditandakan dengan warna merah menandakan sudah disewakan. – FOTO: NSTP

Abu Habiah berkata, sebelum meletak jawatan, pihaknya pernah mencari alternatif lain bagi menyelesaikan masalah parkir iaitu dengan memohon peruntukan daripada wakil rakyat untuk pembinaan parkir di kawasan lapang belakang flat berkenaan.

“Bayangkan di sini terdapat sebanyak lapan blok perumahan berhampiran dan tidak mampu menampung jumlah kenderaan, malah ada yang terima surat saman kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan raya sedangkan sudah tiada ruang dalam kawasan flat, jadi pembinaan ruang parkir tambahan paling tepat mampu selesaikan masalah itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini