comscore
Tumpuan :
Tular

Pihak Berkuasa Ambil Keterangan Peniaga Jual Nasi Ayam, Itik Tak Halal

BAYAN LEPAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sudah mengambil keterangan peniaga nasi ayam dan itik yang didakwa mengambil bekalan daripada restoran orang bukan Islam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, A Mogan berkata, keterangan direkod di satu lagi cawangan gerai itu di pusat beli-belah di Persiaran Gurney di sini dan turut disertai petugas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP).

“Gerai di Sungai Ara ditutup manakala cawangannya di Persiaran Gurney masih beroperasi dan laporannya nanti akan dikeluarkan JHEAIPP.

“Kita juga sudah ke restoran nasi ayam bukan Islam di Paya Terubong (yang didakwa pembekal) dan didapati premis itu tidak beroperasi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi memaparkan peniaga nasi ayam dan itik itu menyerahkan perkakasan serta bahan makanan premis mereka kepada sebuah premis bukan Islam, di sini.

Menerusi video permohonan maaf, peniaga itu mendakwa mereka hanya mencuci perkakasan di premis bukan Islam berkenaan, selain menghantar lebihan makanan seperti tulang untuk diberi kepada anjing peliharaan pemilik premis terbabit.

Sementara itu, Ahli Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Bayan Baru berhubung isu itu hari ini.

Sofian berkata, tujuannya bagi menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga nasi ayam dan itik berkenaan.

“Ia satu penipuan dan seolah-olah melakukan perbuatan khianat kepada orang awam. Peniaga itu menipu secara terang-terangan dan dia juga tahu mengenai penipuan berkenaan serta menjual semula makanan terbabit kepada orang Islam,” katanya.

Loading...
Terkini