comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk mula penat, tertekan selepas lebih dua minggu diserang gangguan misteri

Foto Marina Mohd Noor yang mendakwa sudah lima kali diganggu ketukan misteri di rumahnya di Kampung Kepis Ulu, Kuala Pilah. FOTO: NSTP

KUALA PILAH: Penduduk Kampung Kepis di sini mengaku mereka mulai penat dan tertekan selepas lebih dua minggu diserang gangguan misteri.

Dakwa mereka, setakat ini gangguan itu masih belum menunjukkan tanda reda.

Saban hari mereka berada dalam ketakutan dan terpaksa berjaga malam.

Penduduk, Marina Mohd Noor, 47, berkata setiap malam mesti ada pelbagai gangguan di rumah ibunya, namun sedikit lega kerana ada golongan lelaki yang berjaga di ruang tamu.

“Kami semua terpaksa berkumpul di rumah ibu kerana apabila ramai, rasa takut berkurang. Lagi pula ada adik-beradik dan ipar serta anak saudara lelaki yang sentiasa berjaga di ruang tamu.”

“Namun, situasi ini agak memenatkan dan memberi tekanan kepada kami selain mengganggu kehidupan seharian,” katanya ketika dihubungi rakan media.

Marina berkata mereka sekeluarga terpaksa menghubungi anak saudara lelaki yang bekerja di luar Kuala Pilah supaya pulang ke rumah ibunya bagi meramaikan golongan lelaki.

“Kami tidak tahu tujuan gangguan itu. Adakah untuk mencederakan, mencuri, merasuk atau sekadar gangguan sahaja. Jadi kami kena bersedia setiap masa.”

“Anak saudara yang bekerja di Seremban, Kuala Lumpur dan Putrajaya bergilir-gilir mengambil cuti dan pulang ke kampung. Ia memang mengganggu rutin kami semua,” katanya yang sudah diganggu lebih lima kali.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kepis Hilir, Mohmmad Sah Sulaiman, 44, berkata dia memanggil pengamal perubatan Islam pada Selasa lalu.

“Selepas ustaz itu melihat keadaan dan menjalankan ikhtiarnya, Alhamdulillah gangguan berkurangan selama dua malam, namun ia menjadi-jadi selepas itu.”

“Terbaharu malam tadi, seorang penduduk yang mahu memasang elektrik pada dawai kebunnya ternampak lembaga hitam berupa manusia di hadapan rumah seorang jiran, namun selepas kami tiba, tiada apa-apa.”

“Selepas kami beredar, penduduk yang sama ternampak lembaga sama ketika pulang ke rumahnya,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini