comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengambilan perjawatan guru ‘one-off’ untuk atasi 19,000 kekosongan, bermula hari ini

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying (tengah) melawat tapak pameran pada majlis perasmian Pameran Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 3 Tahun 2023 di Ipoh. – FOTO: NSTP

IPOH: Bermula hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) membuka pengambilan khas perjawatan guru secara sekali pengambilan atau ‘one-off’ bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,000 kekosongan seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, tiada tarikh tutup permohonan telah ditetapkan.

Pengambilan terbuka ini meliputi jawatan guru tetap atau guru sementara khususnya bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam.

Pengambilan kali ini turut dibuka kepada graduan universiti awam tanpa iktisas pendidikan, sekali gus disifatkan sebagai peluang keemasan kepada mereka yang berminat menjadi guru.

“Graduan bukan pendidikan juga boleh mengisi kekosongan guru kali ini, jadi graduan universiti awam yang tidak mengambil opsyen pendidikan pun kali ini boleh mohon menjadi guru.

“KPM sudah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang mana iklan mengenai pengambilan baharu ini akan dikeluarkan nanti.

“Buat masa ini kita masih tidak menetapkan tarikh akhir permohonan itu. Jadi sesiapa yang berminat boleh memohon mulai hari ini melalui portal mySPP (https://myspp.spp.gov.my),” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan beberapa mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis itu, beliau berkata antara faktor kekurangan guru KPM itu adalah berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan SPP untuk membuat pengambilan khususnya bagi menangani isu kekurangan guru bagi empat mata pelajaran berkenaan.

Loading...
Terkini