comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengendali maut jengkaut terbalik di lombong timah

Foto Ihsan Bomba Perak

 

GERIK: Seorang lelaki maut selepas jengkaut yang sedang dikendalikannya terbalik di tepi lereng bukit dalam kejadian di sebuah lombong bijih timah dekat Klian Intan, Pengkalan Hulu, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Lum Kok Hon meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 56 tahun disahkan maut akibat tersepit dalam jentera berat berkenaan.

Katanya, panggilan berhubung kejadian diterima jam 11.53 pagi tadi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu digerakkan ke lokasi kejadian bagi penyelamatan.

“Mangsa merupakan pengendali jengkaut yang bekerja di lombong itu. Kemalangan membabitkan sebuah jengkaut atau ‘excavator’ terbalik di tepi lereng bukit, dengan mangsa didapati tersepit dan disahkan maut oleh pihak KKM (perubatan) selepas kerja-kerja menyelamat dilaksanakan.

“Anggota penyelamat diarah menggunakan peralatan hydraulik dan ‘circular saw’ (gergaji circular) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit seterusnya diserahkan pada pihak KKM,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, jentera bomba sampai ke lokasi jam 12.06 tengah hari tadi, dengan bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengawal keadaan operasi iaitu sehingga jam 3 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.15 petang tadi.

Loading...
Terkini