comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengguna boleh mula bayar tol guna kad debit, kad kredit di BESRAYA, NPE

KUALA LUMPUR: Bermula semalam, Divisyen Tol IJM melaksanakan ujian rintis kutipan tol secara Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) di dua lebuh raya kendaliannya, iaitu Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Chua Lay Hoon berkata, pelaksanaan ujian rintis itu selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kaedah pembayaran alternatif kepada pengguna lebuh raya.

“SPT membolehkan pengguna lebuh raya membayar tol dengan menggunakan kad debit, kad kredit atau kad prabayar, selain kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go (TnG), SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), sekali gus memberi alternatif baharu kepada pengguna dalam proses pembayaran tol.

“Dalam tempoh ujian rintis ini, lorong yang menyediakan SPT dapat dikenal pasti melalui papan tanda khusus di gantri untuk membantu pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menasihati pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad mencukupi untuk pembayaran tol.

Selain itu, katanya, pengguna boleh menggunakan kad bank lain ataupun kad TnG sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal.

“Divisyen Tol IJM berharap pelaksanaan kutipan tol secara SPT ini dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya, di samping membantu melancarkan operasi kutipan tol,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini