comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penghantar makanan nafi tuduhan khianat bakar motosikal di KLCC

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan berdepan pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir hadapan KLCC, minggu lalu.

Bagaimanapun, Azril Kamarunzaman, 34, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang, pada jam 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah, menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Azril, Muhamad Ridzuan Umar, merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guam perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 13 April lalu, Buletin TV3 melaporkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Loading...
Terkini