comscore
Tumpuan :
Nasional

Penguat kuasa JAKIM, JAIN diarah bekerjasama tangani isu ajaran sesat

Mohd Na’im berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah di Putrajaya. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam negeri (JAIN) khususnya bahagian penguatkuasaan untuk bertindak secara bersama bagi menangani isu berkaitan penyebaran ajaran sesat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah itu perlu kerana tindakan penguatkuasaan lebih tegas penting bagi mengekang golongan yang menyebarkan ajaran sesat itu menghentikan kegiatan mereka.

Beliau berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H berhubung perkara itu bertepatan dengan keperluan semasa yang menggesa tindakan tegas penguat kuasa agama dan polis dipertingkatkan bagi mengekang isu itu.

“Bagi menjunjung titah itu, saya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi mendapat perincian terhadap jawatankuasa khas yang perlu ditubuhkan untuk menangani isu penyebaran kandungan ajaran sesat,” katanya selepas majlis sambutan, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, selain itu, gesaan baginda berhubung keperluan pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat tepat, disifatkan sebagai langkah penting berikutan cabaran kebanjiran maklumat melalui media sosial sukar dikawal.

“Perkara itu akan dibincangkan dengan JAKIM iaitu agensi agama peringkat Persekutuan yang menyelaraskan isu berkaitan agama. Memandangkan baginda menitahkan supaya diwujudkan pusat rujukan agama, kita akan lihat bagaimana pusat itu boleh dibentuk,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam titah menggesa kerajaan supaya tindakan penguatkuasaan ditingkatkan terhadap kandungan ajaran sesat dan sebuah pusat rujukan agama disediakan untuk penyebaran ilmu dan maklumat tepat.

Mohd Na’im berkata, beliau menyokong titah baginda yang mengajak rakyat khususnya pengguna media sosial menjaga akhlak dan bahasa dalam menggunakan platform itu untuk manfaat dan bukannya ke jalan keburukan.

“Kita perlu menghormati sesama kita dan membina perpaduan serta kasih sayang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini