comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengunjung menginap di Perak mulai tahun depan kena caj RM3

Foto hiasan

IPOH: Bayaran tambahan berjumlah RM3 sebagai Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) akan dikenakan kepada pengunjung yang menginap di negeri Perak bermula 1 Januari 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, caj baharu itu tertakluk kepada bilik penginapan berbayar untuk setiap malam, selain termaktub mengikut Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada tahun lalu.

Beliau berkata, caj seumpama itu sudah dilaksanakan oleh beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.

“Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan kepada 1 Januari 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya pada sidang media mengenai perkara itu di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Halizah Sipun.

Sandrea berkata, caj yang dikenakan terhadap pengunjung itu adalah inisiatif tambahan yang dilihat berpotensi membantu kerajaan negeri meningkatkan mutu perkhidmatan, khususnya di pelbagai lokasi pelancongan seluruh negeri.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan penyeragaman Lesen Hotel di bawah Enakmen Hotel 2023 ditetapkan bermula 1 Julai depan yang menghendaki setiap pengusaha hotel, rumah rehat, chalet, inap desa, rumah bot dan sebagainya mendapatkan lesen berkenaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum mengenakan caj CPT kepada pelancong.

“Bagi memberikan tempoh yang mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju untuk memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.

“Dalam tempoh ini kita hanya berikan nasihat kepada mereka dan tiada tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha yang belum mendaftar dan memohon,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap semua pengusaha premis penginapan segera mengemukakan permohonan dan lesen daripada PBT di kawasan masing-masing bagi melancarkan pengoperasian perusahaan yang dijalankan.

Meskipun penguatkuasaan lesen tersebut ditangguh, peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam enakmen berkenaan tetap perlu dipatuhi, tambah beliau. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini