comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengusaha bufet Ramadan tanpa sijil halal boleh didenda RM5 juta

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengusaha perniagaan yang menawarkan bufet Ramadan namun tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011).

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff meminta pihak yang menyediakan perkhidmatan juadah itu supaya memiliki SPHM.

Jelas beliau, saranan tersebut dibuat lebih awal supaya pihak berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah seandainya berhasrat menyediakan perkhidmatan bufet Ramadan.

“Seperti kelaziman, setiap kali bulan Ramadan, banyak pengusaha perniagaan makanan seperti hotel, restoran dan seumpamanya akan mempromosikan juadah berbuka puasa atau bufet Ramadan.

“Ingin dimaklumkan, bahawa mana-mana pihak yang membuat pengiklanan dengan ungkapan merujuk kepada makanan yang ditawarkan adalah halal dan boleh dimakan oleh orang Islam seperti bufet Ramadan, iftar Ramadan, set Ramadan dan seumpamanya bagi tujuan perniagaan tanpa memiliki SPHM yang sah adalah melakukan kesalahan di bawah APD 2011,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sabit kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Bagi individu, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Sementara itu, sekiranya didapati sabit kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Bagi individu pula, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Mengulas lanjut, Hakimah menasihatkan pengusaha yang masih belum mempunyai SPHM untuk membuat permohonan secepat mungkin.

Permohonan boleh dibuat sama ada di JAKIM atau jabatan agama mahupun Majlis Agama Islam Negeri.

Jelasnya, pihak JAKIM bersedia untuk membantu pengusaha bagi mendapatkan SPHM.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Bahagian Pengurusan Halal JAKIM di talian 03-8892 5000 atau emel kepada [email protected].

Loading...
Terkini