comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemakaian pelitup muka ketika solat Raya kekal ikut SOP

PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka bagi jemaah menunaikan solat Aidilfitri kekal mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa Peralihan ke Endemik yang berkuat kuasa ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, SOP itu menggalakkan pemakaian pelitup muka jika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

Beliau berkata, ia hasil perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

“Setelah merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dimaklumkan bahawa SOP Fasa Peralihan ke Endemik yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka jika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

“Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa, maka JAKIM ingin menasihatkan kepada semua umat Islam supaya mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri jika berada di tempat perkumpulan ramai dan sesak, termasuk di masjid dan surau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah JAKIM dan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung penetapan pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri.

Beliau berkata, walaupun ia baik untuk langkah pencegahan berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID-19 ketika ini, sebarang ketetapan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka perlu dirujuk kepada kedua-dua institusi  terlebih dahulu.

Loading...
Terkini