comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjaga adik kepada Zayn Rayyan, senarai orang yang layak diteliti JKM 

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang meneliti senarai Orang Yang Layak dan Sesuai untuk menjadi penjaga adik kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin apabila tempoh penjagaannya di institusi kebajikan itu tamat.

Senarai nama itu adalah dalam kalangan ahli keluarganya bagi memastikan mereka benar-benar layak menjaga kanak-kanak terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan selepas penelitian itu, pihaknya akan mengemukakan nama Orang Yang Layak dan Sesuai itu kepada mahkamah apabila tempoh penempatan di JKM tamat 9 Ogos depan.

“Buat sementara, kanak-kanak itu diletakkan di bawah penjagaan rapi JKM Selangor dan pada masa sama kita meneliti senarai mereka yang layak untuk penjagaan selanjutnya.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan langkah seterusnya sama ada menyerahkan kanak-kanak itu kepada orang yang layak atau terus dijaga rapi oleh institusi JKM,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ‘Autism Empowerment Weekend di Muzium Kebudayaan Borneo, di sini, hari ini.

Semalam, JKM Selangor mendapat Perintah Jagaan Sementara kanak-kanak itu mengikut Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, berkata kanak-kanak itu akan ditempatkan di Institusi Kebajikan bagi tempoh dua bulan sementara penyediaan laporan siasatan Orang Yang Layak dan Sesuai lengkap.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, apabila mahkamah memutuskan penjagaan kepada orang yang sesuai, JKM memberi tempoh untuk memastikan keserasian mereka dengan kanak-kanak itu.

“Walaupun mereka diberi hak mutlak untuk menjaga kanak-kanak itu nanti, JKM tetap akan memantau rapi untuk memastikan mereka serasi dan dapat menyesuaikan diri.

“Ini kerana difahamkan kanak-kanak itu mempunyai masalah percakapan yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Khamis lalu atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan ke atas Zayn Rayyan, tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Loading...
Terkini