comscore
Tumpuan :
Nasional

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) masih baik untuk murid

Prof Madya Dr Norazilawati (dua dari kanan) bersama rakan yang melakukan penyelidikan berkaitan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Foto ihsan UPSI.

TANJUNG MALIM: Ketika pelbagai pihak berpolemik tentang Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sama ada relevan atau tidak kepada murid, pasukan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai Prof Madya Dr Norazilawati Abdullah dari Fakulti Pembangunan Manusia  turut membuat kajian berkaitan baru-baru ini.

Kajian beliau dibantu Penyelidik Bersama  iaitu Dr. Hairul Faiezi Lokman (IPG Kampus Ilmu Khas),  Dr. Vijaya Letchumy Baskaran (PPD Manjung, JPN Perak),  Dr. Saniah Sembak (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM),  Dr Eftah Moh@ Abdullah (Inspire Kids Preschool),  Prof Madya  Dr Mazlina Che Mustafa (NCDRC/FPM, UPSI) ) serta Dr. Mazarul Hasan Muhamad Hanafi (FPM,UPSI).

Mereka yang menjalankan penyelidikan menerusi dana Geran Special Interest Group di bawah Geran Penyelidikan Universiti (GPU) itu  menjalankan “Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan PBD terhadap Kemenjadian Murid B40 Prasekolah dan Sekolah Rendah”  terhadap 400 orang guru sekolah rendah.

Dr Norazilawati berkata kajian mendapati tahap pelaksanaan PBD dari dimensi konteks meliputi persekitaran pengajaran, prasarana mendapati kebanyakan guru menyatakan persekitaran kerja di sekolah iaitu sokongan pentadbir dan kerjasama rakan sekerja sangat membantu mereka dalam melaksanakan PBD secara formatif dan sumatif.

Kajian mereka juga mendapati tahap pelaksanaan PBD secara dalam talian dari dimensi proses pula meliputi kaedah pengajaran guru dan sistem pelaporan juga berada pada tahap yang tinggi malah boleh menerangkan kepada ibu bapa tentang pelaporan Tahap Prestasi (TP) murid.

“Kajian ini umumnya mendapati adanya kesan dan hubungan yang kuat kepada produk pelaksanaan PBD dari aspek kemenjadian murid B40 yang meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap,” katanya.

Katanya, guru menyatakan bahawa murid mereka boleh memberi respons yang menjurus ke arah pemikiran kritis dan kreatif berkaitan isi pelajaran menerusi pelaksanaan PBD.

“Kajian kami juga mendapati tiga cabaran yang wujud dalam pentaksiran PBD berlegar kepada tiga aspek iaitu pengetahuan, pencapaian dan pelaksanaan. Elemen pengetahuan menjurus kefahaman segelintir guru dan pentadbir dalam melaksanakan PBD di sekolah dan salah satu puncanya adalah kurangnya pengetahuan dalam merungkai kandungan mahupun silibus dalam mata pelajaran.

“Selain itu, keselarasan dalam pelaksanaan pada peringkat sekolah, daerah dan negeri sering kali mendapat rungutan oleh guru.

Justeru, katanya, untuk mengatasi masalah ini, dicadangkan agar guru sendiri perlu mahir membina item pentaksiran dan perlu sentiasa merujuk DSKP setiap masa dan tidak hanya bergantung kepada buku aktiviti sedia ada.

“Segelintir ibu bapa terutamanya golongan B40 yang masih tidak cakna apakah sebenarnya pentaksiran PBD. Justeru, sikap dan pemahaman ibu bapa terhadap PBD perlu dipertingkatkan berikutan golongan B40 menghadapi cabaran yang lebih besar seperti masalah kewangan dan kemudahan yang boleh diberi kepada anak-anak agar lebih serius terhadap proses pembelajaran.

Oleh itu, katanya, guru perlu sensitif dan peka terhadap golongan murid B40 untuk menjalankan pembelajaran secara terbeza agar setiap murid dapat ditaksir secara telus dan adil kerana masalah tiada kesungguhan murid, jumlah murid yang terlalu besar dalam sesebuah kelas.

Bagi meningkat motivasi murid, katanya, guru perlu mengelakkan pentaksiran dilakukan secara ‘one size fits all’ untuk setiap murid di kelas atas sebab bilangan murid yang ramai di sesebuah bilik darjah agar lebih adil dan saksama.

Beliau berkata walaupun PBD mempunyai cabaran namun PBD turut memberikan banyak impak yang baik malah dilihat sebagai sebuah pentaksiran yang bersifat holistik melalui aspek pembelajaran yang komprehensif merangkumi aspek kemajuan, perkembangan dan pencapaian.

“PBD boleh membantu murid dalam meningkatkan mutu pencapaian dan keupayaan dalam menguasai mata pelajaran adalah sangat tinggi. Beberapa cabaran dan impak PBD merupakan satu proses yang wajar dipandang oleh semua masyarakat khususnya para pendidik, ibu bapa dan murid,”katanya.

Beliau berkata sebagai pendidik beberapa siri program lanjutan bagi berkenaan PBD perlulah dilakukan secara berkala. Kekreatifan guru juga dituntut dalam melaksanakan PBD melalui inisiatif-inisiatif kendiri. Ibu bapa pula perlulah lebih cakna dengan pentaksiran PBD melalui sesi perkongsian dan penerangan yang disampaikan oleh pihak sekolah dan kementerian.

Beliau turut menyarankan agar KPM membuat kajian semula kandungan silibus yang dilihat terlalu banyak dan sukar perlu diberikan perhatian. Manakala keselarasan dalam pelaksanaan sama ada pada peringkat pusat, negeri, daerah dan sekolah perlulah diberikan perhatian menyeluruh agar PBD dapat dilaksanakan mengikut matlamat asal pelaksanaannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini