comscore
Tumpuan :
Nasional

Perak, syarikat Korea Selatan bakal bekerjasama hasilkan produk hiliran REE – MB

Datuk Seri Saarani Mohamad bersama delegasi ketika melakukan kunjungan ke kilang Star Group Industries (SGI) di Daegu, Korea Selatan.

IPOH: Kerajaan negeri Perak dijangka menjalin kerjasama dengan syarikat terkemuka Korea Selatan, Star Group Industries (SGI) yang berpengalaman dalam penghasilan produk hiliran unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata syarikat itu akan berkunjung ke Perak pada bulan depan dan butiran lanjut kerjasama itu akan dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pihak terbabit.

“SGI yang diketuai oleh Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kong Kun Seong, menunjukkan minat untuk bekerjasama, malah menyatakan hasrat berkunjung ke Perak pada bulan depan untuk perbincangan lanjut.”

“Ini satu perkembangan positif dan susulan daripada lawatan kerja kerajaan negeri ke sana…kita turut dibawa melawat kilang SGI di Daegu yang menghasilkan produk hiliran REE,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Datuk Seri Saarani Mohamad bersama delegasi ketika melakukan kunjungan ke kilang Star Group Industries (SGI) di Daegu, Korea Selatan.

Saarani mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan kerja ke Korea Selatan dan Jepun pada 20-27 April 2024 bagi menarik pelaburan dari kedua-dua negara, terutama dalam industri mineral, kenderaan elektrik (EV), pengurusan sisa pepejal dan tenaga hijau.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu berpotensi bagi melengkapkan rantaian bekalan industri automotif, khususnya dalam melaksanakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City Tanjung Malim tanpa perlu bergantung kepada bahan mentah import.

“Antara komponen terpenting industri automotif adalah magnet kekal yang menghasilkan motor aruhan magnet, magnet penghidup penjana hibrid, brek elektrik bersepadu, stering berkuasa elektrik serta pelbagai komponen berteknologi tinggi lain,” katanya.

Beliau berkata kerjasama kedua-dua pihak dapat memberi manfaat besar kepada Perak, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan.

“Bayangkan, berapa banyak peluang pekerjaan dapat kita cipta melalui industri baharu ini. Sudah pasti ini memberi limpahan manfaat untuk rakyat Perak, khususnya anak-anak muda,” katanya.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini