comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN siasat kejadian remaja diserang beruang di kebun durian milik bapa

Al Amin Ratna cedera di kepala, lengan dan badan selepas diserang seekor beruang di kebun durian di Kampung Lerek, Kuala Berang, Terengganu, petang semalam. – Foto ihsan keluarga Al Amin Ratna Shariman Alias.

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian remaja diserang beruang di sebuah kebun durian di Kampung Lerek, Hulu Terengganu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima aduan daripada mangsa.

Menurutnya, setakat ini siasatan dijalankan berdasarkan berita yang tersebar dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita sudah meminta kakitangan menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, remaja terbabit, Al Amin Ratna Shariman Alias, 18, menerima beberapa jahitan di kepala akibat diserang seekor beruang ketika berjalan di kebun milik bapanya, lapor Harian Metro.

Menurut abang mangsa, Aweh Zulkurnain, 22, adiknya bersendirian ketika kejadian dan bernasib baik kerana parang yang dibawa menjadi senjata penyelamat daripada terus diserang beruang.

“Kejadian berlaku ketika adik saya sedang berjalan di kebun sebelum melihat seekor beruang sedang makan durian.

“Ketika itu jarak antara adik dan beruang terbabit hanya beberapa meter, sebelum adik mengambil langkah selamat dengan bersembunyi di sebalik sebatang pokok.

“Namun tiba-tiba beruang itu datang menyerang adik saya,” katanya.

Menurut Aweh, adiknya sempat melibas parang ke arah beruang bagi menyelamatkan diri.

Loading...
Terkini