comscore
Tumpuan :
Nasional

Perkeso pemberita sambilan ditanggung, insentif Rebat Rahmah diteruskan

KUCHING: Kementerian Komunikasi akan menampung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemberita sambilan atau ‘stringer’ berdaftar dengan pelbagai organisasi media seluruh negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, caruman itu akan bermula 1 Julai depan dengan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) akan menanggung caruman bagi tempoh setahun pertama.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Penerangan, seramai 565 pengamal media yang berdaftar seluruh negara adalah bertaraf sambilan.

“Perkeso mengesahkan 538 daripadanya (stringer) tiada caruman Perkeso, namun layak didaftarkan.

“Maka dengan ini, sukacita saya umumkan, bermula 1 Julai 2024, Kementerian Komunikasi melalui Bernama akan menampung caruman Perkeso untuk kesemua pengamal media dalam kategori itu bagi tempoh satu tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Sehubungan itu, Fahmi berkata, semua organisasi media berdaftar diarah untuk mengemaskini data masing-masing bagi memudahkan penyaluran bantuan untuk pemberita sambilan itu.

Sementara itu, bagi menghargai pengorbanan pengamal media, kerajaan meneruskan pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar.

“Bantuan yang dinamakan Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media itu akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada bulan kebangsaan nanti.

“Selain itu, mana-mana organisasi media berdaftar yang masih belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO), anda boleh terus berhubung dengan mana-mana pengendali MNO bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media bermula 1 Julai 2024,” katanya.

Menurutnya lagi, ketika ini jumlah keseluruhan pengamal media yang memegang kad perakuan media Jabatan Penerangan Malaysia adalah seramai 11,235 orang.

“Daripada jumlah itu, 11,055 adalah warganegara, manakala selebihnya pengamal media asing yang berpangkalan di Malaysia,” katanya.

HAWANA 2024 yang julung kali diadakan di luar Semenanjung bermula Sabtu lalu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara termasuk dari beberapa negara luar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini