comscore
Tumpuan :
Nasional

Permintaan anak benih pokok cecah 2,000 pokok ketika musim panas

Usahawan tani, Sanida Bakron menunjukkan anak benih pokok yang dijualnya di Kampung Bakat, Jabi, Besut.- Foto: NSTP

BESUT: Cuaca panas ekoran fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini mendatangkan rezeki buat seorang usahawan tani apabila anak benih pokoknya mendapat permintaan sehingga mencecah 2,000 pokok seminggu.

Sanida Bakron, 48, berkata hampir setiap benih pokok yang disemainya seperti timun, kubis, terung, lada dan sawi mendapat permintaan tinggi.

“Permintaan tinggi ini disebabkan golongan petani mula menanam kembali pokok termasuk petani yang menjalankan tanaman fertigasi.”

“Pendapatan saya juga mencecah hingga RM10,000 pada musim panas ini hasil jualan anak benih meningkat sekali ganda berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakat, Jabi, hari ini.

Katanya, pada musim panas anak pokok perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk memastikan ia mendapat bekalan air secukupnya.

“Kita perlu memastikan kadar siraman mencukupi kerana musim panas anak pokok mendapat bekalan cahaya matahari yang terik.”

“Cuaca pada musim ini juga membolehkan anak benih lebih senang dibiak serta diuruskan terutamanya selepas proses pembajaan dilakukan,” katanya.

Katanya, setakat ini kira-kira 100 jenis anak pokok ditawarkan dengan harga semurah RM1 sehingga RM25 mengikut jenis dan saiz anak pokok.

“Ketika cuaca panas anak benih yang dihasilkan adalah lebih berkualiti serta bebas daripada serangan penyakit seperti kutu daun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini