comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan bayaran balik SKDS 2.0 bermula 1 Julai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mula menerima permohonan pembayaran balik daripada penerima Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, pada 1 Julai ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan itu terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik yang layak dan sudah diluluskan permohonan mereka di bawah SKDS 2.0 tetapi masih belum mendapat kad fleet.

Katanya, pemohon akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel mutakhir iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024 dengan had liter bulanan antara 2,999 hingga 6,999.

“Pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

“Mekanisme pembayaran semula ini bertujuan membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel, sekali gus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung dengan harga bahan api itu diapungkan mengikut pasaran.

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel memperlihatkan kerajaan menetapkan SKDS 2.0 yang menggunakan kaedah kad fleet bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

SKDS 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter. Diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.

Kerajaan juga menyediakan bantuan tunai BUDI Individu sebanyak RM200 sebulan kepada individu yang memiliki kenderaan diesel persendirian dan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 sebulan bagi petani kecil dan pekebun kecil komoditi untuk mengurangkan kesan kepada punca pendapatan mereka.

Amir Hamzah berkata, mekanisme pembayaran semula interim ini membabitkan tujuh terma iaitu pemilik kenderaan logistik berkelayakan mesti memastikan sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun 2024, tetapi belum menerima kad fleet.

Beliau berkata, selain itu permohonan kad fleet perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terbabit sebelum 15 Julai ini dan tuntutan akan diterima bermula Isnin ini.

“Terma lain ialah ia tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan, dengan setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan serta resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit.

“Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari bekerja bagi tuntutan yang diluluskan dan mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun lalu sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan atau mana-mana yang terdahulu,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan menggesa pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak memohon di bawah SKDS 2.0 supaya membuat permohonan dengan segera bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan.

Beliau berkata, pengusaha perniagaan logistik berkelayakan boleh mengemukakan permohonan di bawah SKDS 2.0 di https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.

“Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Saya ingin mengulangi bahawa kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini