comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan pingat JPN bagi kakitangan awam keselamatan zaman darurat dibuka

FOTO: Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police)/Facebook

KUALA LUMPUR: Permohonan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kategori kakitangan awam keselamatan yang berkhidmat pada zaman darurat kini dibuka.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kassim dalam kenyataannya berkata, permohonan boleh dibuat di pejabat Cawangan Hal Ehwal Awam/Pesara Polis Kontinjen dan Daerah yang berdekatan dengan menyertakan dokumen salinan kad pengenalan, kad pesara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Surat Pengesahan Rekod Perkhidmatan dari Bahagian Rekod Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ujar beliau, bagi petugas polis termasuk kakitangan awam dalam perkhidmatan polis Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia, mereka mestilah bertugas bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 17 Oktober 1990.

“Bagi pasukan polis negara Komanwel yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan polis Persekutuan Tanah Melayu pula adalah bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 30 Ogos 1957, yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat,” katanya.

“Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai akan membantu pemohon dalam memudahkan urusan pengesahan dokumen sokongan. Bagi pengesahan rekod perkhidmatan pemohon pula, mereka boleh menghubungi Cawangan Rekod Personel di Jabatan Pengurusan PDRM atau menghubungi 03-2266 8114 / 8115 / 8117,” katanya.

PDRM berharap Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia, Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir Awam Polis Sabah dan Kesatuan Pegawai Awam Polis Sarawak dapat membantu ahlinya serta individu yang layak membuat permohonan.

Untuk pertanyaan lanjut berhubung permohonan PJPN, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan PDRM di talian 03-2266 8387.

PJPN dianugerahkan kepada petugas polis dan PDRM termasuk kakitangan awam keselamatan bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa dalam perkhidmatan polis di Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia ketika zaman darurat.

Loading...
Terkini