comscore
Tumpuan :
Nasional

Permohonan skim motosikal EV dibuka bulan depan, tawar rebat sehingga RM2,400

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Permohonan program Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik akan dibuka kepada rakyat pada Disember ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim ini dibuka kepada rakyat yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperkenalkan skim galakan penggunaan motosikal elektrik dengan rebat sehingga RM2,400 bagi membantu pengguna beralih kepada motosikal elektrik.

Beliau berkata kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh tenaga nasional bhd (TNB), Gentari Sdn Bhd dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan kenderaan elektrik.

“Bagi menterjemah pelan hala tuju peralihan tenaga negara (NETR), kerajaan menyediakan dana mudah cara peralihan tenaga negara berjumlah RM2 bilion,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di persidangan dewan negara, hari ini.

Beliau menegaskan, dari segi keutamaan pelaburan, tumpuan juga diberikan kepada bidang pertumbuhan tinggi bernilai tinggi dan pendekatan insentif berasaskan keberhasilan yang menggunakan sistem tiering akan dilaksanakan.

“Sebagai permulaan, galakan cukai pelaburan semula secara tiering akan diberikan dalam bentuk elaun cukai pelaburan 70 peratus atau 100 peratus.

Perdana Menteri berkata bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (e&e) di Wilayah Utara, kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak akan dibuka.

“Bagi memudahkan urusan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) sehingga ia diluluskan, Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) ditubuhkan dan perlu melaporkan terus kepada majlis pelaburan negara,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini