comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruncit didenda RM10,000 gara-gara jual telur harga melampau

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Padah menjual telur ayam melebihi harga kawalan maksimum, sebuah syarikat peruncit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah menjual telur ayam gred B pada harga 70 sen sebiji, sedangkan harga kawalan adalah 43 sen sebiji.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, tindakan itu dibuat oleh anggota penguat kuasa KPDN Johor Bahru pada 2 Januari lalu, berdasarkan siasatan aduan orang awam di sebuah premis runcit sekitar kawasan Taman Dato’ Onn.

“KPDN Johor melalui anggota penguat kuasa di seluruh Johor akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan ke atas kedudukan bekalan barang keperluan asas di seluruh negeri.

“Sebagai agensi kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup, pelbagai langkah telah dilakukan bagi memastikan harga barangan adalah berpatutan dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Lilis Saslinda, seramai 200 anggota penguat kuasa KPDN Johor sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan agar bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi bagi rakyat negeri ini.

Katanya peniaga juga dinasihatkan mematuhi segala undang-undang perniagaan yang ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga,” katanya.

Loading...
Terkini