comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan pembangkang: PN sambut baik usaha kerajaan 

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menyambut baik dalam usaha kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan terhadap Ahli Parlimen Pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu beberapa perkara yang terkandung di dalam memorandum berkenaan.

“Perikatan Nasional menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, Perikatan Nasional selaku pembangkang akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat-syarat dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang sedang disiapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Jelasnya, MoU berkenaan akan dirangka sebelum dipanjangkan kepada pihak pembangkan sebagai langkah rundingan seterusnya.

Perkara itu juga katanya, telah dipersetujui oleh pimpinan utama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, isu peruntukan berkenaan menjadi hangat dalam kalangan blok pembangkang yang menganggap kerajaan tidak berlaku adil.

Perkara itu juga menurut mereka, menyukarkan usaha untuk menyalurkan bantuan membabitkan kawasan parlimen yang diterajui Ahli Parlimen pembangkang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini