comscore
Tumpuan :
Nasional

Perutusan Negara: Hapus rasuah mampu tambah bantuan rakyat, tingkat mutu prasarana

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan mencampuri proses kehakiman dan beri ruang sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa peranan Jabatan Audit Negara juga perlu diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik.

“Kita merasa perlu untuk memberi ruang kepada semua agensi, selain PDRM dan SPRM, Jabatan Audit juta perlu ditambah baik.

“Hal ini kita tekankan untuk mendapat dukungan dan bertindak dengan begitu tegas dan baik serta menjalin perkhidmatan awam yang lebih teratur, bersih dari rasuah, kelembapan serta kemalasan

“Mungkin ada yang memandang remeh dan anggap ini sebagai cakap politik. Tetapi akibatnya besar sekali yang mungkin tidak ramai sedari bahawa kesannya berantai dan menjalar hingga ke bawah.

“Yakinlah dan Insya-Allah kita dapat banteras sekiranya kita bertindak secara konsisten, berani dan tegas (melawan rasuah) dari peringkat tertinggi (sehinggalah) serendah rendahnya

“Kita semua harus memahami bahawa jalur hukum serta proses mahkamah itu perlu bebas dan mengambil masa. Ini hendaklah dihormati oleh semua pihak.,” katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Beliau menekankan soal rasuah kerana ia menjadi barah utama yang melemahkan ekonomi negara serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat.

Beliau berkata isu itu berlaku di setiap peringkat, dari atas sehingga ke bawah yang membebankan rakyat dengan kerenah sesetengah golongan yang masih mahu mengaut komisen sebelum apa-apa kelulusan diberikan.

“Tahun pertama lagi saya telah tegaskan keperluan menghentikan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan, apa yang disebut sebagai tender rundingan, beralih kepada sistem tender terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tender terbuka dalam projek Rancangan Tebatan Banjir mampu jimat wang rakyat sehingga RM2 bilion, selain sindiket penyeludupan di pintu masuk negara oleh sekelumit kecil pegawai awam yang ditumpaskan, menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini amat merugikan, kartel minyak masak, ayam dan telur dipecahkan supaya harga dan bekalan terkawal dalam meredakan kos sara hidup.

“Apakah angka-angka ini tidak bermakna buat kita?. Sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, dua masalah struktural yang melemahkan kekuatan ekonomi negara ialah ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan yang hambar serta kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan yang lemah.

Loading...
Terkini