comscore
Tumpuan :
Nasional

Pesara rugi, terperdaya tawaran pakej umrah tidak wujud

Foto hiasan

KUANTAN: Terperdaya dengan tawaran pakej umrah yang tidak wujud, seorang pesara swasta di Temerloh terpaksa menanggung kerugian RM11,400 sekaligus impian untuk menunaikan umrah tidak kesampaian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 58 tahun itu dilaporkan menerima tawaran pakej umrah melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Mac lalu.

“Mangsa berurusan dengan suspek yang mendakwa kononnya dilantik sebuah syarikat menguruskan umrah terbabit.

“Mangsa membuat lima kali transaksi melalui dua akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kelmarin mangsa menghubungi syarikat yang dikatakan menawarkan pakej terbabit tetapi dimaklumkan tiada apa-apa pakej ditawarkan syarikat berkenaan.

“Wang simpanan mangsa sebanyak RM11,400 lesap kerana mempercayai tawaran yang dibuat suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai tidak berurusan dengan orang tengah bagi mana-mana tawaran pakej umrah dan haji, selain membuat semakan di Lembaga Tabung Haji. — HARIAN METRO

Loading...
Terkini