comscore
Tumpuan :
Nasional

Cucu mahu balik kampung, namun ayah mereka tidak cuti – Nenek mangsa lemas

PASIR PUTEH: Nenek kepada Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, salah seorang mangsa lemas di kolam latihan sebuah kem tentera Batu Lima di Mentakab, Temerloh, Pahang memaklumkan cucunya berhasrat mahu pulang ke kampung pada cuti persekolahan bulan depan.

Namun hasrat cucu kesayangan yang mahu pulang ke kampung halaman di Kampung Wakaf di sini, cuma tinggal kenangan kini.

Allahyarham Muhammad Shafiq Aswad, 11, ditemukan lemas bersama dua rakan iaitu Aiman Syafiq Sudirman, 11, dan Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, semalam.

Nenek mangsa, Rohana Ghazali, 63, berkata, cucunya yang juga anak kedua daripada lima beradik itu sangat rapat dengannya.

Katanya, kali terakhir mereka jumpa pada hari raya Aidilfitri yang lalu ketika anaknya, Noriah Abdul Rashid, 35, dan menantu Koperal Shahril Naim Isa, 39, pulang ke kampung.

“Anak selalu menghubungi dan maklumkan cucu termasuk arwah mahu balik kampung, namun tidak dapat pulang pada cuti sekolah ini kerana ayah mereka tidak cuti.

“Namun, saya dikejutkan dengan kejadian cucu lemas di kolam selepas dihubungi rakan anak pada 5.50 petang semalam,” katanya ketika ditemui di Kampung Wakaf hari ini.

Rohana berkata, ketika pulang ke kampung cucunya tidak pernah mandi sungai atau kolam.

“Begitu juga ketika berada di kem tentera, cucu tidak pernah ke kolam itu dan hanya bermain bola sepak di padang,” katanya.

Menurutnya, cucunya itu akan disembahyangkan di rumahnya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf sebaik jenazah tiba dari Mentakab.

Terdahulu media melaporkan, tiga mangsa yang juga anak anggota tentera iaitu Amar Mukhlis, Aiman Syafiq dan Muhammad Shafiq Aswad ditemukan lemas di kolam latihan sebuah kem tentera di Mentakab, Pahang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian itu diketahui selepas seorang rakan mangsa meminta tolong daripada anggota tentera sekitar jam 5.30 petang.

“Pasukan tentera yang tiba di kolam menemukan tiga baju di tepi kolam dan pencarian menjumpai mangsa pertama iaitu Aiman Syafiq pada 5.55 petang disusuli Muhammad Shafiq Aswad pada 6.10 petang dan Amar Mukhlis lima minit kemudian,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini