comscore
Tumpuan :
Nasional

Pihak berkuasa gempur warga asing berniaga sayur, buah-buahan di kaki lima

Majlis Bandaraya Seremban menyita barangan milik peniaga warga asing yang diletakkan di kaki lima di hadapan premis di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, di sini. – Foto: Ihsan pembaca

SEREMBAN: Tindakan warga asing yang sewenang-wenangnya menjadikan premis rumah kedai di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, di sini, seperti di tempat asal mereka dengan menjual sayur dan buah-buahan di kaki lima mencacatkan pemandangan di kawasan itu.

Malah, warga asing terbabit juga didakwa menguasai deretan kedai di lokasi itu.

Lebih berani apabila mereka turut membuka gerai menjual makanan dari negara asal di hadapan kedai.

Susulan itu, peniaga berkenaan diserbu Majlis Bandaraya Seremban (MBS) malam kelmarin, susulan tular satu video yang memaparkan kegiatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan MBS antara jam 8 hingga 9.15 malam kelmarin, hasil aduan orang awam.

Foto: NSTP

“Pasukan serbuan yang turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKKNS) memeriksa dua premis berkenaan yang diuruskan warga asing.

“Mereka didapati melakukan kesalahan menjalankan barangan basah yang diletakkan di kaki lima mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBS 1981,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Veerapan berkata, siasatan mendapati premis berkenaan memiliki lesen perniagaan runcit dari pihak majlis (MBS) milik rakyat tempatan.

Kedua-dua premis terbabit disita kerana menjual barangan di kaki lima tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Semua barang sitaan disimpan di Setor Penyimpanan MBS di Jalan Labu, Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan beberapa warga asing berniaga sayur-sayuran di kaki lima premis di sekitar Seremban.

Loading...
Terkini