comscore
Tumpuan :
Nasional

Pilihan Raya Umum Indonesia 2024: Pengundian semula di Kuala Lumpur esok

KUALA LUMPUR: Proses pengundian semula Pemilihan Umum (PEMILU 2024) Indonesia bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur akan diadakan esok di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Menurut Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini, pengundian semula akan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang waktu Malaysia, melibatkan 22 Tempat Pemungutan Suara (TPS) dan 120 Kotak Suara Keliling atau peti undi bergerak.

“KBRI telah menerima pemberitahuan rasmi dari Komisi Pemilihan Umum (KPU) Pusat Jakarta berkaitan Pemungutan Suara Ulang PEMILU 2024 di Kuala Lumpur.

 

“KBRI Kuala Lumpur bukan penyelenggara PEMILU 2024. Penyelenggara PEMILU adalah KPU dan BAWASLU (Badan Pengawas Pemilihan Umum),” demikian menurut pejabat kedutaan itu dalam catatan di Facebook, hari ini.

KPU Republik Indonesia dalam hantaran di laman Facebooknya memetik kenyataan Ketua KPU, Hasyim Asy’ari, berkata BAWASLU telah mencadangkan proses pengundian semula dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.

Laporan media Indonesia menyatakan pengundian semula itu akan melibatkan 62,217 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,372 individu yang akan mengundi di WTC dan 19,845 individu melalui peti undi bergerak di 120 lokasi.

Pengundian semula dilakukan selepas Polis Indonesia mendapati terdapat unsur jenayah pelanggaran peraturan pilihan raya membabitkan manipulasi data dan pemalsuan yang dilakukan oleh tujuh Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur.

Tujuh individu daripada panitia berkenaan disenaraikan sebagai suspek dalam kes itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini