comscore
Tumpuan :
Nasional

Plaza Tol Kuala Terengganu mula sesak

Kakitangan LPT2 membantu pengguna mengimbas kad Touch n Go bagi mengelak kesesakan di Plaza Tol Kuala Terengganu. – FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Aliran trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu di sini sesak dengan pergerakan keluar kenderaan dari bandar raya ini selepas cuti Tahun Baharu Cina berakhir hari ini yang dijangka bertambah menjelang malam nanti.

Pergerakan lalu lintas bagaimanapun lancar dan terkawal walaupun berlaku pertambahan kenderaan yang mula bergerak keluar ke destinasi masing-masing, bermula pagi tadi.

Tinjauan di plaza tol berkenaan mendapati kenderaan mula bertambah di pintu masuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) itu bermula jam 12 tengah hari.

Kakitangan LPT2 dilihat membantu mengimbas kad ‘Touch n Go’ pengguna secara manual di kawasan, manakala anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) membantu memastikan aliran trafik lancar.

Plaza tol berkenaan adalah pintu keluar masuk pengguna LPT2 dari bandar Kuala Terengganu, Setiu dan Besut, selain kenderaan dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan dan lazimnya sesak setiap kali musim perayaan atau cuti sekolah.

Difahamkan, lebih 50,000 kenderaan melalui plaza tol berkenaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Dalam tempoh jam 6 pagi hingga 4 petang tadi, lebih 9,000 kenderaan direkodkan memasuki LPT2 menerusi plaza tol berkenaan.

Loading...
Terkini