comscore
Tumpuan :
Nasional

PM akan bincang dengan Mufti isu konsert Coldplay

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berhubung penganjuran konsert kumpulan Coldplay yang dijadual berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perdana Menteri berkata, ia memandangkan, ada pelobi daripada gerakan penyokong pejuang Palestin yang menyokong penganjuran konsert berkenaan dan pada masa yang sama terdapat pihak lain yang menyarankan konsert itu dibatalkan.

“Coldplay ini antara kumpulan yang sokong Palestin, jadi ada masalah sikit saya nak beritahu, dalam kerajaan yang lepas telah luluskan (konsert) juga. Saya akan bincang dengan mufti (berhubung) keadaan ini.

“Kerana ada pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

“Oleh kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita bersetuju, itu saya akan bincang semula,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung pendirian kerajaan dalam penganjuran konsert berkenaan.

Ia memandangkan Luqman meminta supaya penganjuran konsert itu tidak diteruskan kerana disifatkan sebagai melalaikan.

Luqman dilapor berkata acara itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, band asal United Kingdom (UK) yang menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

Sebelum ini, terdapat beberapa pihak   turut menyarankan supaya konsert berkenaan dibatalkan bagi menghormati situasi semasa di Gaza, Palestin, selain bimbang insiden tidak senonoh dilakukan kumpulan pop rock dikenali sebagai The 1975 pada Julai lalu berulang.

Kumpulan muzik ternama dari UK itu dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok sempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour.

| ARTIKEL BERKAITAN 

Loading...
Terkini