comscore
Tumpuan :
Nasional

PM arah program rasmi Kerajaan jangan bazir masa tetamu

Oleh Syafiqah Damanhuri

PARIT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua program Kerajaan tidak menetapkan masa jemputan terlalu awal bagi mengelakkan pembaziran masa tetamu.

Katanya, ketetapan jurang masa hingga satu jam sebelum ketibaan beliau itu disifat mengurangkan produktiviti negara.

“Saya tengok dalam jadual, ketibaan Perdana Menteri jam 1 petang, ketibaan jemputan jam 12.00 tengah hari. 1 jam tu buat apa?

“Jadi saya minta semua Jabatan Kerajaan untuk tukar program sedikit. Kalau ketibaan Perdana Menteri jam 1 petang, ketibaan jemputan tu pada 12.40 tengahhari pun bolehlah.”

“Tadi saya selepas pada program kesihatan dengan Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad makan pun tak habis sebab takut terlambat sampai ke sini (Seri Iskandar). Tengok jemputan datang jam 12.00, itu nayalah.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra MADANI di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar di sini hari ini.

Tambahnya, jangka masa antara 10 hingga 15 minit untuk susun atur kedudukan tetamu sudah cukup.

“InsyaAllah, ini dijadikan arahan, 10 hingga 15 minit untuk kita atur tempat duduk sebagainya itu tak mengapa. Tetapi tidak perlu tetamu untuk diminta hadir begitu lama, itu membazir waktu dan mengurangkan produktiviti negara,” katanya.

Pada majlis sama, Datuk Seri Anwar turut menyampaikan Surat Kelulusan Projek Masjid Ar-Rahmaniah, Tronoh, Perak.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada peserta e-Kasih dan bantuan makanan daripada Myfundaction.

Loading...
Terkini