comscore
Tumpuan :
Nasional

PM cadang setiap pimpinan kerajaan, agensi jaga satu kampung

FOTO: NSTP

Oleh: Kumaran Rajamoney

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa cadangan bagi menugaskan seorang pemimpin kerajaan dan agensi menjaga satu kampung, dalam mesyuarat jemaah menteri Rabu ini.

Sebagai permulaan, beliau sendiri memilih kampung halamannya di Cherok Tok Kun, di sini untuk diletakkan dibawah seliaannya dan disusuli setiap ahli jemaah menteri yang lain.

Cadangan itu katanya hasil cerapan maklumat dari pertemuan yang diadakan bersama pimpinan masyarakat di Permatang Pauh, pagi tadi.

“Kita ada lebih 2,000 pimpinan kerajaan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh memberikan khidmat yang lebih membumi. Ini akan membentuk imbangan baik dalam membantu melaksanakan agenda dirancang kerajaan dengan baik.”

“Pimpinan ini perlu menjadi pemudahcara dalam membantu menyelaras keperluan yang mendesak. Bila pendekatan ini diambil maka pimpinan ini akan lebih faham masalah yang ada dan menjadi jambatan kepada pelbagai insiatif yang sudah dirancang,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, menjaga sesebuah kampung menjadikan pimpinan kerajaan lebih faham masalah asas melibatkan isu sosio-ekonomi.

“Saya sendiri akan pastikan mesyuarat diadakan bersama pimpinan tempatan tanpa mengira latar belakang politik, bagi memperoleh maklumat tepat dari akar umbi.”

“Contoh, masalah pengangguran jika ada itu, kenapa? Miskin tegar yang tidak cukup makan, rumah roboh, keciciran sekolah. Semua ini dibincang terus dengan orang kampung,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Yeow, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini