comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM ucap selamat hari Deepavali, mohon maaf tidak bersama 

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat hari Deepavali kepada penganut agama Hindu dan mahu ia diraikan dengan meriah bersama keluarga dan sahabat handai.

Beliau yang sebelum ini berada di Riyadh, Arab Saudi atas urusan negara turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama di tanah air seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, anggota Kabinet turut berkongsi ucapan selamat menyambut Deepavali kepada penganut agama Hindu menerusi media sosial masing-masing sambil mengingatkan masyarakat supaya menjadikan sambutan perayaan pesta cahaya kali ini sebagai peluang untuk mengeratkan lagi perpaduan.

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook berharap perayaan Deepavali kali ini lebih meriah serta dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan agenda Malaysia MADANI.

“Marilah kita bersama terus menyemai rasa cinta dan nilai hormat-menghormati sesama kita. Seperti perayaannya, semoga kehidupan kita sesama rakyat Malaysia terus diberikan sinar untuk negara ini terus makmur bersama,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga mengingatkan keharmonian hidup bermasyarakat penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia merupakan sesuatu yang unik dan haruslah dijaga sebaik-baiknya sampai bila-bila.

“Gunakanlah kesempatan daripada perayaan seperti ini untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan ikatan perpaduan sesama kita,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut berharap masyarakat Hindu di seluruh negara menyambut perayaan Deepavali tahun ini dengan meriah bersama keluarga tersayang.

Nada sama disuarakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang supaya Deepavali kali ini membawa sinar cahaya kegembiraan, kesejahteraan dan menyemarakkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan etnik di Malaysia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam mesej Deepavali  menggesa orang ramai berhati-hati dan mengutamakan keselamatan terutamanya semasa perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Apabila keluarga berkumpul bersama-sama untuk beraya, marilah kita memastikan bahawa jalan raya adalah laluan kegembiraan, bebas daripada bayang-bayang kemalangan. Semoga Deepavali ini membawa kemesraan, kebahagiaan, dan kemakmuran ke rumah anda.

“Semoga anda dan orang tersayang dapat meraikan sambutan dengan meriah. Semoga selamat dalam perjalanan dan selamat menyambut Deepavali,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini