comscore
Tumpuan :
Nasional

PM ucap tahniah skuad bola sepak cerebral palsy raih emas 

FOTO: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap skuad bola sepak cerebral palsy (CP) lelaki negara yang meraih pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja, baru-baru ini dapat meneruskan prestasi cemerlangnya pada masa akan datang.

Anwar yang mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu memberitahu beliau telah bertemu dengan skuad kendalian Asnan Md Zuki itu semalam.

“Saya ucap tahniah kepada mereka, dan berharap agar prestasi cemerlang ini dapat diteruskan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Pada perlawanan akhir  Khamis lalu, skuad negara menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat masa sebenar perlawanan, sekali gus menamatkan kemarau pingat emas dalam tempoh sedekad.

FOTO: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri turut memuji aksi dan pencapaian kontinjen Malaysia sepanjang temasya APG 2023 berlangsung.

“Ucapan tahniah juga ditujukan buat kontinjen Malaysia keseluruhannya yang mempamerkan aksi yang sangat baik sepanjang temasya berlangsung,” katanya.

Pada APG 2023 di Kemboja yang berakhir Jumaat lalu, Malaysia meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 34 gangsa sekali gus melepasi sasaran 33 emas ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Loading...
Terkini