comscore
Tumpuan :
Nasional

PM umum berita gembira buat JKDM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Susulan prestasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membanggakan dengan pencapaian mengutip cukai melebihi sasaran pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa berita gembira kepada jabatan berkenaan.

Antaranya, pemberian bonus kepada kakitangan dan usaha menaik taraf perumahan kakitangan JKDM.

“Saya hargai dan menaruh keyakinan sebab itu saya boleh beri jaminan bonus tahun ini lebih baik dari sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42, di sini hari ini.

Tahun lalu, JKDM mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan tambahan peruntukan awal bagi menambah baik perumahan JKDM daripada RM20 juta kepada RM50 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi memastikan perumahan buat kakitangannya tidak lagi daif dan uzur selain kerajaan akan terus berusaha untuk membina perumahan baharu buat mereka.

“Sebab itu bagi polis, tentera, Maritim Malaysia dan JKDM, kita akan beri keutamaan kepada perumahan pada tahun 2024 ini. Saya minta ini disegerakan, tidak ikut prosedur tender biasa.

“Perkara ini terpaksa ikut tender kerana kalau ada rundingan, rundingan ini kadangkala ada 10 peratus, 20 peratus itu bocor ke tempat lain.

“Sebab itu proses tender itu harus dipatuhi tapi boleh disegerakan, dipercepatkan. Kalau tandas robek, rosak, takkan nak tunggu tandas siap enam bulan. Itu satu penyeksaan, penderaan tapi boleh disegerakan semua itu,” katanya.

Katanya, bagi tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM2 bilion untuk memperbaiki perumahan penjawat awam termasuk JKDM.

Pada masa sama, Anwar yakin sasaran kutipan RM56 bilion pada tahun ini akan dicapai dengan semangat luar biasa dipamerkan JKDM.

“Kastam, polis, Maritim Malaysia dan agensi di sempadan, semua kerjasama penting kerana kita berhadapan dengan kelompok rakus, penyeludup canggih dan kehilangan dana akibat penyeludupan, keluar masuk minyak, dadah, rokok, arak cecah puluhan bilion ringgit.

“Saya rasa lebih yakin dengan pimpinan di Kastam dan pasukan yang punya komitmen bahawa kita dapat bersama-sama bukan sahaja kumpul dana lebih baik tapi banteras penyeludupan yang merosakkan negara,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini