comscore
Tumpuan :
Nasional

JKDM sasar kutipan RM56 bilion tahun ini

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menetapkan sasaran kutipan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebanyak RM56 bilion pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sasaran itu ditetapkan berikutan kejayaan jabatan berkenaan mengutip hasil melebihi sasaran pada tahun lalu.

“Bermula awal tahun ini, JKDM telah menggerakkan jentera dalam memastikan sasaran kutipan ini juga turut dapat dicapai.

“Sebagaimana kejayaan yang dicapai pada tahun lepas, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2024 ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42 yang disempurnakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Tahun lalu, JKDM mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.

Mengulas lanjut, menurut Anis Rizana, JKDM berjaya membendung sejumlah 7,771 kes penyeludupan pada tahun lalu yang melibatkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM567 juta.

Katanya, kes rampasan tertinggi adalah melibatkan kes rampasan dadah jenis Fentanyl seberat 807.9 kilogram bernilai sebanyak RM44.4 juta.

Sementara itu, dalam usaha menarik kepercayaan lebih ramai pelabur ke Malaysia, JKDM konsisten dalam usaha mempercepatkan dan memantapkan lagi fasilitasi perdagangan merentasi sempadan.

Jelas beliau, jabatan terbabit sentiasa giat memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada pihak industri melalui program seperti ‘outreach’, ‘handholding’ dan khidmat nasihat dari semasa ke semasa.

“Dengan adanya keseimbangan antara fungsi mengutip hasil dan fasilitasi perdagangan, pembangunan ekonomi akan menjadi lebih makmur.

“JKDM juga memberi fokus ke arah memudah cara perdagangan dengan mengadaptasi transformasi teknologi melalui pembangunan sistem seperti, MyExcise Fasa 2, CuBIC, Sistem MySawit, SDSIE dan i-PATUH,” katanya.

Loading...
Terkini