comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis buru dua individu, samun Akhyar 

 

KUALA TERENGGANU: Pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang diserang dua individu tidak dikenali berhampiran sebuah kondominium di sini malam tadi, menerima empat jahitan di kepala, dua jahitan di kaki kiri dan mengalami bengkak di lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Akhyar mengalami pendarahan di kepala selepas terdapat koyakan sepanjang empat sentimeter.

Azli percaya kejadian menimpa pemain itu bermotifkan samun.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang juga pemain bola sepak kebangsaan berusia 25 tahun baru tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus.

Beliau berkata, mangsa dipercayai diserang suspek yang tidak dikenali sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian itu, suspek yang memakai ‘mask’ dan menutup kepala dengan baju hoodie itu juga dipercayai memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.

“Suspek kemudian mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit dipegang oleh mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan,” katanya.

“Kejadian menyebabkan mangsa menanggung kerugian hampir RM5,000 dan setakat ini, kita percaya kejadian bermotifkan samun.

“Usaha mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp semalam, pemain kelahiran Kedah itu dikatakan sedang berada di sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini