comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis Kedah ketatkan kawalan di sempadan susulan insiden tembakan di KLIA

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (tengah) pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. – FOTO: NSTP

SUNGAI PETANI: Polis Kedah mengetatkan kawalan terutama di sempadan selain membantu secara optimum sekiranya suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati berada di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya sudah pun bersiap sedia untuk membantu pasukan Bukit Aman dalam menangani kes itu.

“Polis Kontinjen Kedah sentiasa akan memberi sokongan dengan menyalurkan sebarang maklumat yang diperolehi berkaitan suspek.”

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Terdahulu, Fisol menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dengan Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.

Dalam pada itu, Fisol berkata setakat ini sekatan jalan raya (SJR) memang sudah dilakukan di kawasan sempadan namun polis Kedah akan terus mengetatkan kawalan bagi memastikan suspek tidak terlepas ke negara jiran.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan bahawa setiap kontinjen polis negeri sudah digerakkan bagi mengesan suspek kes tembakan itu.

Mohd Shuhaily berkata semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen terdekat dan bersempadan dengan negara jiran digerakkan berikutan suspek didakwa melarikan diri ke utara.

Dalam kejadian awal pagi tadi, hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya tetapi terkena seorang pengawal peribadi.

Ketika kejadian, isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Suspek turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan satu kes mengikut Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Rekod menunjukkan isteri suspek pernah membuat dua laporan polis ke atas suspek di bawah Seksyen 506 pada 2016 dan 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini