comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis klasifikasi kes pasangan jatuh Jambatan Pulau Pinang sebagai cubaan bunuh

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada sidang media berhubung kejadian pasangan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut. – Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengklasifikasikan kes pasangan jatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini semalam sebagai cubaan bunuh.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata ia susulan hasil siasatan awal terhadap wanita berusia 40 tahun itu, yang mendakwa dia ditolak lelaki berkenaan ke laut.

Tambahnya, keterangan lelaki yang berusia 37 tahun itu belum diambil kerana dia masih dirawat di hospital susulan kecederaan di kepalanya.

“Kita percaya sebelum itu berlaku pertengkaran di tempat kejadian dan wanita terbabit yang berasal dari Pulau Pinang mendakwa dia ditolak lelaki berkenaan.”

“Sehubungan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Sementara itu, NST dalam laporannya pula menyebut lelaki itu adalah seorang pegawai kanan polis yang berkhidmat di sebuah kontinjen di luar Pulau Pinang.

Siasatan awal mendapati pegawai kanan polis itu turut terlibat dalam satu kes jenayah di Daerah Timur Laut baru-baru ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tambah laporan itu, wanita terbabit bekerja di sebuah kilang.

Semalam, media melaporkan lelaki dan wanita berkenaan dikatakan terjatuh dalam kejadian di KM2.8 menghala ke Perai, di sini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai Shahrul Munawer Taharen berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.49 petang.

Kedua-duanya dikatakan bertelingkah di atas jambatan berkenaan sebelum kedua-duanya terjatuh ke laut.

Terdapat seorang lelaki lain yang juga orang awam, bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa sebelum mereka dibawa menaiki bot oleh nelayan yang kebetulan berada di lokasi.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata dakwaan kononnya pasangan itu menjalin hubungan cinta masih dalam siasatan polis.

“Siasatan masih teruskan bagi mendapatkan keterangan dan pengesahan saksi yang lain,” katanya lagi.

Terdahulu Kok Chin ditemui ketika Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut, kepada Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini