comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tak terima permohonan himpunan aman di Kedutaan Sweden

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan aman di Kedutaan Sweden di ibu kota, Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sebarang perhimpunan yang ingin diadakan perlu menghantar notis mengikut diperuntukkan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurutnya, sekurang-kurangnya notis berkenaan perlu dihantar lima hari sebelum tarikh untuk perhimpunan berkenaan diadakan.

“Setakat hari ini, tiada sebarang notis pemakluman diterima. Memandangkan lagi tiga hari perhimpunan itu akan diadakan, jadi saya nasihat agar orang ramai supaya menghormati dan mematuhi undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu poster penganjuran penyerahan memorandum di Kedutaan Sweden Jumaat ini berikutan kejadian membakar al-Quran di Stockholm, baru-baru ini.

Penganjuran itu dipercayai dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyeru orang ramai bersama-sama berhimpun dan berarak ke Kedutaan Sweden dari Masjid As-Syakirin KLCC, selepas solat Jumaat.

Ahad lalu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan, membakar al-Quran dengan pemetik api ketika protes Islamofobia di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang, termasuk wartawan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini