comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengasuh pukul budak 3 tahun sampai patah kaki

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai dicubit, digigit dan dipukul sehingga patah kaki oleh pengasuhnya yang juga wanita warga asing.

Nasib malang yang menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas dia tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin lalu akibat kecederaan dialami.

Sumber berkata, ibu kanak-kanak terbabit berusia 36 tahun mendakwa mengambil pengasuh itu daripada sebuah agensi pekerjaan warga asing kira-kira tiga tahun lalu.

“Pengasuh itu ditugaskan membantu menjaga anaknya yang menerima rawatan di HKL akibat masalah kesihatan.

“Pada 2022, pengadu mula menyedari terdapat kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan, muka serta kemaluan anaknya, tapi pengasuh wanita terbabit menafikan mendera kanak-kanak itu.

“Sehinggalah baru-baru ini, anaknya dimasukkan ke ICU kerana keracunan makanan dipercayai akibat diberi makanan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sumber berkata, pengasuh bertindak melarikan diri sebelum ibu mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan ibu mangsa pada Isnin lalu.

Beliau berkata, polis merakam keterangan pengadu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini