comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tembak MPV rempuh kereta peronda, pemandu ada 14 rekod jenayah lampau

Foto hiasan

HULU SELANGOR: Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh kenderaan agensi penguatkuasa itu di hadapan sebuah gerai makan di Serendah, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian jam 4.40 petang itu berlaku semasa sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim, Perak mengekori Perodua Alza berwarna ungu yang mencurigakan.

“Apabila kenderaan suspek berhenti di hadapan gerai makan, polis menghalangnya dengan dua kenderaan.

“Kemudian suspek bertindak merempuh kedua-dua kenderaan polis sehingga membahayakan nyawa anggota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.

Menurutnya, selepas keadaan selamat pihaknya melakukan pemeriksaan dan mendapati suspek mengalami kecederaan di perut akibat kesan tembakan.

“Suspek dibawa ke Hospital Selayang dan keadaannya kini stabil.

“Semakan mendapati individu berusia lingkungan 30-an itu mempunyai 14 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya

Ahmad Faizal berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi IPD Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini